ANTARA kenderaan terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA kenderaan terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nur Saliawati Salberi


KELINDAN lori maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 202.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Plaza Tol Ayer Keroh, di Alor Gajah, hari ini.

Kejadian 6.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Ridzuan Mohamad Kamar, 26, kelindan kedua lori yang membawa muatan perabot maut di lokasi.

Malah, kemalangan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas kira- kira tiga kilometer.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan itu membabitkan treler muatan gula, lori serta sebuah kren.

Beliau berkata, semua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi, pemandu kren yang memandu di lorong kiri terdengar dentuman kuat dari arah belakang kenderaan dipandunya.

“Pada mulanya, dia hanya menyedari treler merempuh belakang krennya sebelum mendapati terdapat sebuah lagi kenderaan di belakang trelar terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit kemudian dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba.

“Mangsa cedera iaitu pemandu treler dan lori serta kelindan pertama lori kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa maut turut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 12:06 PM