KEADAAN lori dan bas sekolah selepas kemalangan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KEADAAN lori dan bas sekolah selepas kemalangan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


PEMANDU lori ais maut, kelindan parah manakala empat pelajar cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas sekolah di Kilometer 22, Jalan Bahau-Kemayan berhampiran FELDA Lui Selatan 1, petang tadi.

Kemalangan berlaku pada 5.20 petang dan mangsa, Lee Yang Wee, 32, dari Melaka meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Jempol (HJ) sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas sekolah dipandu lelaki berusia 32 dari FELDA Lui Barat menuju Kemayan, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori ais.

Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori terbabit tersepit sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Bagaimanapun, pemandu lori meninggal dunia di HJ. Keempat-empat pelajar berusia 15 hingga 17 tahun pula menerima rawatan di Klinik Kesihatan berhampiran," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kelindan lori parah di kepala dan kaki kanan dirawat di hospital sama, manakala pemandu bas tidak cedera.

"Kami masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:48 PM