Keadaan ambulans selepas kemalangan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Keadaan ambulans selepas kemalangan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


SEBUAH ambulans yang dalam perjalanan menghantar pesakit angin ahmar ke Hospital Jempol terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat, Kilometer 10, Jalan Bahau-Kemayan, Jempol, malam tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa parah dalam kemalangan pada jam 7.55 malam itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian berlaku apabila ambulans dari Keratong dipercayai dilanggar sebuah Perodua Myvi dari arah Serting Tengah.

Katanya, ambulans berkenaan dilanggar sebaik melepasi lampu isyarat dan akibat pertembungan itu kedua-dua buah kenderaan kemek di bahagian hadapan.

"Pemandu kereta seorang wanita berusia 22 tahun bersama dua lagi penumpang berusia 20-an cedera ringan," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:31 PM