KEADAAN lori yang terbalik di Kilometer 38  Jalan Bahau-Kemayan.
KEADAAN lori yang terbalik di Kilometer 38 Jalan Bahau-Kemayan.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: “Hidangan nasi beriani kambing yang dimasak pada pertemuan keluarga di rumahnya sempena cuti Tahun Baru Cina minggu lalu adalah yang terakhir,” kata Suhana Fadzilah, adik kepada Ismail, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Bahau-Kemayan, berhampiran Sungai Lui, di sini, semalam.

Mangsa yang juga kelindan lori membawa muatan ayam proses antara dua yang maut manakala seorang parah dalam kemalangan jam 5.30 pagi itu.

Turut maut, pemandu lori warga Bangladesh, Tanvir Ahammed Siddique, 46, manakala seorang lagi kelindan, Mohd Syaaban Mohd Amin, 30, parah dan dirawat di Hospital Jempol.

Suhana, 34, berkata, arwah abangnya gemar memasak dan menyediakan hidangan kepada keluarga.

“Arwah abang anak kelima daripada lapan beradik dan suka memasak apabila adik-beradik bertandang ke rumahnya di FELDA Sungai Sayong, Kulai Jaya, Johor.

“Saya tidak menyangka abang akan pergi terlalu awal. Saya pasti akan merindui arwah dan masakannya. Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol, di sini, semalam.

Arwah meninggalkan seorang balu dan empat anak masing-masing berusia tujuh hingga 20 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai terbabas ketika melalui selekoh menyebabkannya terbalik.

“Kemalangan itu mengakibatkan semua mangsa tersepit di bahagian kepala lori. Dua disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang cedera dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 6:48 AM