Kemalangan mengorbankan dua beranak di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Mahsan, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Kemalangan mengorbankan dua beranak di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Mahsan, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


DUA beranak maut selepas kereta Proton Wira dinaiki bertembung dengan lori di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Mahsan, hari ini.

Mangsa Amaisah Mohamad Azid, 54, dan anak lelakinya Mohammad Aliff Azmi, 27, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di FELDA Serting Hilir, selepas Amaisah menjalani rawatan dialisis di klinik di Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian 11.47 pagi itu, kereta dipandu Mohammad Aliff dari arah Bahau ke Kemayan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa berpusing dan bergesel dengan Honda Jazz yang berada di belakang kereta mangsa. Kereta mangsa kemudian terbabas ke bahu jalan.

"Dua beranak terbabit tersepit dan anggota bomba dipanggil untuk mengeluarkan mereka. Amaisah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohammad Aliff meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jempol akibat parah di kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori Mohamad Shahrom Nasuha, 29, dan pemandu Honda Jazz, Azman Awang Teh, 45, tidak cedera.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Jempol dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 5:19 PM