ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa yang dipercayai terjun dari Jambatan Connaught.
ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa yang dipercayai terjun dari Jambatan Connaught.
HM Digital

Klang: Selepas tiga hari pencarian, pasukan penyelamat akhirnya menemui mayat wanita yang terjun dari Jambatan Connaught, Bukit Kuda, dekat sini, jam 12.30 tengah hari semalam.

Usaha mencari dan menyelamat dijalankan pihak berkuasa sejak mereka menerima maklumat berkenaan sebelum menemui mayat wanita itu 10 kilometer dari jambatan terbabit.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, anggotanya yang menjalankan operasi mencari menemui mayat wanita itu di pesisiran Sungai Klang.

“Operasi hari ketiga hari ini (semalam) yang diketuai Pegawai Bomba Kanan, Zulalim Mahful menemui mayat mangsa 10 kilometer dari jambatan itu.

“Mayat itu diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Isnin lalu, ibu kepada tiga anak berusia 38 tahun itu nekad terjun dari jambatan berkenaan.

Sebelum itu wanita terbabit sempat menghubungi ahli keluarganya dan kemudian terjun ke sungai melalui jambatan itu.

Wanita itu yang juga pemilik salun di Kampung Jawa, dekat sini bertindak demikian dipercayai kerana mengalami tekanan perasaan.

Menurut adik ipar wanita itu, suami kakak iparnya yang juga abangnya kini berada di Penjara Sungai Buloh dan mereka mempunyai tiga anak dengan dua daripada mereka menghidap Sindrom Down.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:12 AM