Wanita yang cuba bunuh diri ditenangkan ahli keluarga dan anggota pasukan penyelamat selepas diselamatkan di Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya di Klang. FOTO Ihsan JBPM
Wanita yang cuba bunuh diri ditenangkan ahli keluarga dan anggota pasukan penyelamat selepas diselamatkan di Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya di Klang. FOTO Ihsan JBPM
Faliq Lajim


GAGAL mengawal perasaan disebabkan masalah keluarga dipercayai menjadi punca seorang wanita cuba membunuh diri di tingkat sembilan sebuah pangsapuri di Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya di Klang, pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun dan sudah berkahwin itu cuba terjun dari kawasan tangga bangunan berkenaan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai tindakan wanita terbabit pada 11.02 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, pihak kami mendapati seorang wanita menghulurkan kepalanya keluar di laluan tangga tingkat sembilan pangsapuri berkenaan.

“Wanita berkenaan dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah keluarga dan cuba untuk membunuh diri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk memujuknya supaya membatalkan niatnya untuk membunuh diri.

“Wanita itu akhirnya berjaya diselamatkan dengan bantuan ahli keluarganya dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 5:57 PM