Yusmizal Dolah Aling


PENYERTAAN lebih 125,000 Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang melebihi sasaran asal menunjukkan rakyat negara ini mula memahami pentingnya memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, sejak dilancarkan 1 Ogos lalu, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mahasiswa yang menyatakan komitmen bersama-sama agensi itu membanteras apa juga unsur rasuah.

Katanya, sasaran awal SPRM sehingga hujung tahun ini adalah sebanyak 100,000, namun ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga kini seramai 125,000 dan jumlah itu terus bertambah.

"Kita akan perluaskan ke sekolah untuk memastikan kesedaran jijik dan benci rasuah ini bermula sejak dari sekolah rendah.

"Oleh itu, pada tahun depan, kita akan lancarkan Sahabat Cilik GERAH di peringkat sekolah rendah dan Sahabat Junior GERAH untuk pelajar sekolah menengah. Kita harap ia akan mencapai matlamat kita untuk memberi kesedaran di semua peringkat," katanya pada sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Indah Water Konsortium (IWK) di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IWK Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK Faizal Othman.

Dzulkifli berkata, golongan mahasiswa antara yang paling ramai menjadi ahli GERAH dan ia adalah petanda positif usaha membanteras rasuah boleh mencapai matlamatnya.

"Untuk golongan mahasiswa ini, banyak manfaatnya sebagai sahabat GERAH kerana kita juga bekerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti Berjaya Group, Sunway Group dan QSR. Kad keahlian GERAH membolehkan mereka menerima diskaun seperti kad diskaun yang lain.

"Kita harapkan menjelang akhir tahun ini, keahlian Sahabat GERAH akan mencapai 150,000 kerana banyak lagi program yang akan dibuat khusus untuk memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli berkata, SPRM berharap semua kementerian, agensi, jabatan dan kerajaan negeri dapat menandatangani IBR tahun ini bagi menunjukkan komitmen mereka menghapuskan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Ketika ini, lebih 700 IBR sudah ditandatangani pelbagai kementerian dan agensi termasuk kerajaan negeri kecuali Selangor.

"Saya harap kerajaan negeri Selangor akan tandatangan IBR tahun ini juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 1:38 PM
Dzulkifli bersalaman dengan kakitangan IWK selepas menghadiri majlis Ikrar Bebas Rasuah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Dzulkifli bersalaman dengan kakitangan IWK selepas menghadiri majlis Ikrar Bebas Rasuah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria