AZMI (enam kanan) bersama Azman (dua kiri) dan diperhatikan Md Shukri (dua kanan) pada majlis pelancaran Maskot SPRM dan Sahabat GERAH Cilik SPRM. FOTO Mohd Azren Jamaludin
AZMI (enam kanan) bersama Azman (dua kiri) dan diperhatikan Md Shukri (dua kanan) pada majlis pelancaran Maskot SPRM dan Sahabat GERAH Cilik SPRM. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menyasarkan lebih 500,000 murid dan pelajar sekolah di negeri ini menyertai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) Cilik dan Junior.

Ia bagi mencapai hasrat agensi itu untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat bersama-sama dengan SPRM bagi memastikan rasuah di negara ini dibanteras sepenuhnya.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, pihaknya berterima kasih dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor yang akan bekerjasama dalam memastikan semua murid dan pelajar di negeri ini menyertai program berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan JPN supaya semua sekolah di negeri ini didaftarkan sebagai Sahabat GERAH Cilik dengan persetujuan ibu bapa mereka.

“Ini bagi memastikan kita dapat memberi pengetahuan daripada peringkat awal lagi kepada murid mengenai jenayah rasuah ini.

“JPN akan membantu kita memperluaskan lagi usaha pendaftaran murid dan pelajar ini dalam Sahabat GERAH Cilik,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Maskot SPRM dan Sahabat GERAH Cilik SPRM peringkat Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tebrau di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Guru Besar SK Sri Tebrau, Md Shukri Sultani.

Sahabat GERAH dilancarkan pada 8 Mei 2017, manakala hari ini, Sahabat GERAH Cilik yang membabitkan murid sekolah rendah dilancarkan serentak di seluruh negara.

Difahamkan, Sahabat GERAH Junior yang menyasarkan pelajar sekolah menengah akan dilancarkan April ini.

Sementara itu, Azman berkata, program berkenaan akan diperluaskan ke 1,184 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dan melihat mekanisme serta pengisian program berkenaan bersama SPRM.

“Di Johor, kita mempunyai seramai 541,134 murid dan pelajar dan kita menyasarkan semua mereka akan menjadi ahli program ini menjelang penghujung tahun ini. “SK Sri Tebrau menjadi perintis program ini dan ia akan diperluaskan di seluruh sekolah menengah dan rendah di negeri ini dalam usaha mendidik generasi muda tentang keburukan gejala rasuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 12:44 PM