Dzulkifli (kiri) bersama Ahmad Yakob dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Dzulkifli (kiri) bersama Ahmad Yakob dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail

KERAJAAN negeri Selangor menjadi satu-satunya negeri yang belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya sudah berhubung dengan kerajaan negeri terbabit, namun mereka masih belum memberi tarikh untuk berbuat demikian.

"Kita harap (kerajaan negeri) Selangor memandang perkara ini dengan serius dan menyahut cabaran mahu semua negeri menandatangani IBR sebagai komitmen untuk pastikan pentadbiran negeri bersih daripada rasuah.

"SPRM sudah hubungi kerajaan negeri Selangor untuk tujuan berkenaan dan setakat ini mereka bersetuju melaksanakannya, namun mereka belum memberi tarikh. Kita berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Lafaz dan Menandatangani IBRAR bersama Menteri Besar Kelantan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 12:10 PM