MOHD Amar (Gambar Fail)
MOHD Amar (Gambar Fail)
Muhamaad Razis Ismail


PAS tiada halangan dengan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhasrat melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas untuk parti politik sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS sudah lama mengamalkan kaedah seperti itu yang dipanggil baiah dalam kalangan calon parti itu.

"Kita memang sudah ada kaedah yang dipanggil baiah untuk mengikat ahli parti terutama calon supaya tidak menyeleweng dan salah guna kedudukan dan ini amalan biasa di seluruh negara.

"Memang setiap kali pilihan raya termasuk pilihan raya kecil, calon mesti berbaiah yang dibuat sebelum penamaan calon.

"Mengenai IBR, kalau ditetapkan peraturan itu, kita ikutlah, kalau tidak, kita tidak boleh bertanding," katanya selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, demikian sebagai mengulas laporan Harian Metro hari ini bahawa SPRM tidak menolak kemungkinan melaksanakan IBR khas sempena PRU-14.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dipetik berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama sekiranya parti politik bertanding memohon untuk melaksanakan IBR dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan parti politik untuk menyatakan ikrar mereka membanteras gejala rasuah.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amar menafikan penyebaran senarai nama calon cadangan kemenangan PAS Kelantan dalam PRU-14 yang tular di media sosial, hari ini.

"Viral ini macam-macam, jangan kiralah viral sebab yang senarai calon sebenar belum ada, yang ada cuma cadangan dan setiap kerusi kita sudah kemukakan tiga calon, yang final (tepat) pada hari penamaan calon nanti

"Kita sendiri tiada nama calon yang akan bertanding nanti, dan fokus utama untuk pertahankan Kelantan," katanya.

Dalam tular itu turut menyenaraikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan Exco yang digugurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:33 PM