GITARIS kumpulan rock, Izzi Razzi Mahmud diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan teman wanitanya. Foto STR/MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
GITARIS kumpulan rock, Izzi Razzi Mahmud diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan teman wanitanya. Foto STR/MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nur Saliawati Salberi


GITARIS kumpulan rock didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mencederakan teman wanitanya, awal bulan ini.

Izzi Razzi Mahmud, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang wanita berusia 36 tahun dengan menendang, menumbuk dan memijak sehingga mangsa patah tulang di bahagian bawah mata dan pipi kanan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pasar raya di Jalan Batu Berendam, Melaka, jam 4.10 petang, pada 9 Jun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan mempunyai banyak tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 2:46 PM