Nur Saliawati Salberi


GURU lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelakinya dalam kejadian empat tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Muzamil Pandak, 31, membuat pengakuan itu sebaik kesemua empat pertuduhan keatasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merangsang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun (ketika kejadian) iaitu melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun (ketika kejadian).

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di inap desa di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, antara 2 hingga 3 pagi pada 24 dan 25 Oktober 2015.

TERTUDUH, Ahmad Muzamil Pandak, 31, diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau terhadap lelaki berumur 12 tahun ketika dibawa di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
TERTUDUH, Ahmad Muzamil Pandak, 31, diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau terhadap lelaki berumur 12 tahun ketika dibawa di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan kepada mahkamah jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kedua-dua mangsa adalah anak muridnya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Al- Hirzan Mahamad Akhir, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu pernah didakwa atas kes sama dan baru sahaja memulakan tugas pada awal November selepas digantung kerja.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan selain dia tidak dibenarkan mendekati mangsa serta keluarga mereka.

Mahkamah turut menetapkan 6 Januari hadapan tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 1:11 PM