ANGGOTA polis mengiringi dua daripada tiga tertuduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. Foto RASUL AZLI SAMAD
ANGGOTA polis mengiringi dua daripada tiga tertuduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. Foto RASUL AZLI SAMAD
Nur Saliawati Salberi


TIGA beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menyamun jiran mereka, awal bulan ini.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh masing-masing berusia 13, 21 dan 22 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan samun berkawan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun dengan merampas wang tunai milik mangsa berjumlah RM10.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Air Keroh Height, Ayer Keroh, kira-kira jam 3 petang, pada 10 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan hanya menyebut tiada wang.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 serta menetapkan 25 Februari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 4:52 PM