NAZRUL di depan butik MM.
NAZRUL di depan butik MM.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Mode Market (MM), butik vendor terbesar dalam pusat beli-belah menyasarkan untuk mempunyai angka keseluruhan vendor sebanyak 52 sebelum memasuki tahun depan.

Pengasasnya, Ahmad Nazrul Mohamad Isa berkata, sehingga kini, butiknya memuatkan kira-kira 30 jenama pakaian tempatan antaranya Neelofar Hijab, Azura Azwa, Madeena by Mizz Nina, Pestle & Mortar, DistroKL Customade Shoes, Venaise Kuala Lumpur dan lain-lain.

“Beroperasi sejak 15 Ogos lalu, kami menyedia dan menawarkan pelbagai segmen antaranya pakaian, hijab, aksesori, kasut dan banyak lagi. Bagi saiz kedai berkeluasan 3,800 kaki persegi, butik ini mampu memuatkan sehingga 104 vendor.

“Pembukaan butik vendor adalah bertujuan memberi ruang kepada peniaga baru dan dalam talian yang mahu mengembangkan bidang perusahaan dengan memasarkan produk mereka di dalam pusat membeli-belah setanding dengan jenama butik terkenal lain,” katanya pada majlis pelancaran MM.

Dengan mengenengahkan konsep urban seperti pakaian profesional, kasual dan santai, pihaknya menawarkan sewaan tapak pada harga mampu milik serendah RM700 untuk membantu dan memberi peluang kepada anak muda khususnya yang menjalankan urus niaga daripada dalam talian ke sebuah unit kedai.

Menurutnya, beliau bercadang membuka dua lagi cawangan berkonsepkan jenama eksklusif, tempatan dan nusantara bertempat di utara dan selatan tanah air seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru dengan pelaburan pembangunan bernilai kira-kira RM500,000 bagi setiap unit dalam tempoh setahun dari sekarang.

Beliau berkata, bagi tahun depan, beliau dan kumpulannya merancang mengadakan Bulan Pereka Fesyen selama empat bulan dan membawa masuk pereka fesyen dari Singapura, Qatar dan Kuwait antaranya Sheikha Hub selain menjalinkan kerjasama dengan pereka tempatan.

Menekankan kualiti dan identiti rekaan serta jenama, MM menawarkan produk pada harga serendah RM79 hingga RM1,800 bagi segmen pakaian manakala aksesori pula antara RM30 hingga RM150.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 6:54 AM