Shamsul Munir Safini

Butterworth: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Rasuah Butterworth, semalam atas pertuduhan memperoleh suapan RM300 daripada seorang lelaki pada 13 Oktober 2016.

Tertuduh, Lans Koperal Mohd Syafiq Abd Rahman, 27, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 8 malam bertarikh 13 Oktober 2016 di Lorong Relai 3, Bukit Jambul di daerah Timur Laut secara rasuah cuba memperoleh untuk dirinya suatu suapan wang tunai RM300 daripada seorang lelaki berusia 41 tahun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan lelaki berkenaan yang disyaki menyamar sebagai polis.

Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) selama tujuh tahun mengangguk faham sebelum meminta dibicarakan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menerima habuan RM300 itu selepas tidak mengambil tindakan ke atas lelaki terbabit yang disyaki menyamar sebagai anggota polis kerana memiliki Kad Koperasi Bekas Polis dan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a), ASPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama.

Sitarun Nisa kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 5:35 AM