PEGAWAI SPRM membawa Ng Kheng Suah, 46, (tengah) atas dakwaan memberi suapan kepada pegawai SSM. FOTO Danial Saad
PEGAWAI SPRM membawa Ng Kheng Suah, 46, (tengah) atas dakwaan memberi suapan kepada pegawai SSM. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


Butterworth: Pengurus kilang, 46, minta dibicarakan atas tiga pertuduhan memberi suapan RM12,000 kepada tiga penjawat awam di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, di sini, tadi.

Tertuduh Ng Kheng Suah mengaku tidak bersalah memberi suapan RM4,000 setiap seorang kepada tiga kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 16 Jun tahun lalu.

Ng yang diwakili peguam, P Latsmanan mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Berdasarkan kertas pendakwaan, tertuduh pada jam 10 pagi, 16 Jun tahun lalu telah secara rasuah memberikan suapan RM4,000 kepada ketiga-tiga kakitangan SSM di Jalan Sungai Lembu, dekat sini, sebagai dorongan bagi mempercepatkan kelulusan permohonan Skim Kepentingan Baru untuk The Heaven Memorial Park di Lot 398, 399, 868, 870 dan 1561, Jalan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah.

Ng didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM 2009.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Amin Yaacob memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Latsmanan kemudian merayu mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan tertuduh yang juga pengusaha roti itu terpaksa menyara empat anaknya yang masih bersekolah di sekolah rendan dan menegah serta dua orang tuanya.

Sitarun kemudian menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin ke atas Ng.

Kes akan disebut semula 27 Mei ini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 11:11 AM