KENDERAAN mula menggunakan Jambatan sementara Pulau Setelu yang dibuka semula jam 4.45 petang tadi. Foto Ramli Ibrahim
KENDERAAN mula menggunakan Jambatan sementara Pulau Setelu yang dibuka semula jam 4.45 petang tadi. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


JAMBATAN sementara Pulau Setelu, Gua Musang yang ditutup selepas dinaiki air pagi tadi dibuka semula kepada kenderaan 4.45 petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohd Yusalmi Yusoff berkata, air yang menenggelamkan jambatan itu sejak 6.30 pagi tadi mulai surut pada 2 petang.

"Kemudian anggota APM bersama penduduk bergotong-royong membersihkan sisa kayu yang tersekat pada jambatan itu untuk keselamatan pengguna.

"Selepas keadaan benar-benar selamat, jambatan itu dibuka semula untuk semua kenderaan jam 4.45 petang tadi ," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menempatkan empat anggota di jambatan itu untuk memantau perkembangan di situ dan menjaga keselamatan pengguna.

"Kawalan itu dilakukan kerana masih terdapat segelintir pengguna yang degil melalui jambatan itu biarpun keadaan masih belum selamat.

"Mereka perlu beri kerjasama kerana apa yang kita lakukan untuk memastikan keselamatan mereka," katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan lebih 300 murid dan pelajar di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan terkandas selepas jambatan sementara kampung itu ditenggelami air hari ini.

Jambatan menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli itu ditutup kepada semua kenderaan selepas paras air Sungai Nenggiri naik mendadak mulai jam 6.30 pagi berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Berikutan itu, murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Star serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek terpaksa menyeberang sungai menggunakan bot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 5:51 PM