Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, yang ditenggelami air sungai, hari ini. - Foto RAMLI IBRAHIM
Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, yang ditenggelami air sungai, hari ini. - Foto RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


JAMBATAN sementara menghubungkan jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, ditenggelami air Sungai Nenggiri buat kali ke-23, hari ini.

Berikutan itu, jambatan itu ditutup untuk semua kenderaan mulai 6.30 petang kerana arus sungai yang deras dan bahaya.

Seorang pengguna, Sulaiman Ahmad, 41, berkata air sungai naik terlalu cepat dan mula melimpah pada 5.40 petang.

Katanya, pada 6 petang, hanya kenderaan berat boleh melalui jambatan itu kerana air sungai di atas jambatan setinggi 0.2 meter.

“Saya sempat melalui jambatan itu untuk ke bandar sebelum ia dilimpahi air dan selepas itu, ditutup untuk semua kenderaan.

"Jambatan ini kerap dilimpahi air terutama ketika hujan lebat. Saya tidak tahu bila air akan surut, namun berharap ia tidak berpanjangan," katanya.

Penduduk, Daud Omar, 58, berkata, kebiasaannya air akan surut dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas hujan berhenti, namun jambatan akan dipenuhi sisa kayu yang hanyut.

Katanya, penduduk bersedia untuk membantu membersihkan sisa kayu yang tersangkut pada jambatan berkenaan.

"Kami akan bergotong-royong membuang sisa kayu bagi menjaga keselamatan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 10:51 PM