DUA mangsa masih hilang. FOTO hiasan.
DUA mangsa masih hilang. FOTO hiasan.
Shahrul Nizam Mohamad


DUA penduduk yang dalam perjalanan pulang ke Pulau Tioman, Rompin gagal dikesan selepas bot laju dinaiki mereka hilang, jam 1.30 tengah hari semalam.

Ketika kejadian, Amat Muhamad, 50, dan Mohd Abdul Lattif Kasim, 20, bertolak daripada Jeti Sungai Puteri di sini.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat abang seorang daripada mereka.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan jam 7 pagi hari ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang dengan kekuatan 73 anggota.

“SAR turut dibantu 24 penduduk Pulau Tioman yang menggunakan enam bot,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, keadaan cuaca yang cerah sebelum hujan lebat melanda ditambah keadaan laut yang bergelora pada tengah hari menyukarkan operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 3:02 PM