DUA pemancing ditemui selamat selepas berjaya berenang ke daratan di Teluk Juara, Pulau Tioman, Rompin. FOTO Ihsan APMM.
DUA pemancing ditemui selamat selepas berjaya berenang ke daratan di Teluk Juara, Pulau Tioman, Rompin. FOTO Ihsan APMM.
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada dua pemancing apabila berjaya berenang ke pantai selepas bot mereka karam di pukul ombak dalam kejadian di perairan Pulau Tioman, Rompin.

Mangsa dikenali sebagai Chia Swee Kwong, 49, dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sebelum ditemui orang awam dalam keadaan lemah di pantai Teluk Juara, Pulau Tioman, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 2.30 petang tadi.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan setelah Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Balai Polis Rompin memaklumkan mengenai penemuan mangsa itu.

"Kehilangan mangsa dilaporkan majikan mereka selepas mendapati mangsa tidak pulang selepas keluar memancing pada Isnin lalu.

"Usaha menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit dua pemancing itu gagal dihubungi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, majikan mangsa juga mengesahkan bahawa kedua-dua lelaki yang ditemui itu adalah mangsa yang dicari seterusnya dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak menyebabkannya karam.

"Kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berjaya berenang menuju daratan yang berdekatan," katanya.

Katanya, APMM mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati-hati dan berwaspada apabila berada di laut dengan mematuhi undang-undang dan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan musim tengkujuh masih lagi belum berakhir dengan laut bergelora dan angin kuat.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 11:15 PM