MESIN CNC Milling boleh membuat ukiran kayu dan komponen mekanikal tiga dimensi.
MESIN CNC Milling boleh membuat ukiran kayu dan komponen mekanikal tiga dimensi.
HM Digital

Melaka: Meskipun hanya berbekalkan pengetahuan asas bidang pemesinan dan program komputer sekumpulan penuntut Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Merlimau, Jasin berjaya menghasilkan produk inovasi mesin CNC Millling (Computer Numerical Control) mereka sendiri.

Penuntut berkenaan dibantu pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal sepanjang proses membina mesin yang dikhaskan untuk kerja membuat ukiran kayu dan komponen mekanikal dalam bentuk tiga dimensi.

Pengarah Politeknik Merlimau Rashidah Mustapa berkata, pembangunan mesin CNC Milling itu diselaras Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Mohamad Halim Ibrahim dan beberapa lagi tenaga pengajar lain.

Beliau berkata, idea menghasilkan mesin CNC Milling timbul selepas proses pembelajaran dan pengajaran terbantut berikutan mesin CNC sedia ada kerap rosak.

“Kos penyelenggaraan mesin juga tinggi, berikutan itu sekumpulan penuntut Diploma Teknologi Pembuatan mengambil inisiatif membangunkan mesin CNC Milling berkenaan.

“Proses membina mesin dimulakan Januari lalu dan siap pada Ogos membabitkan perkongsian idea pensyarah dan 33 penuntut,” katanya.

Rashidah berkata, mesin berkenaan bukan sahaja mampu melancarkan proses pembelajaran dan pengajaran, sebaliknya boleh digunakan untuk menyiapkan projek penuntut.

Menurutnya, mesin CNC Milling berkenaan juga amat mesra pengguna, menggunakan perisian berlesen, disertakan dengan garis panduan penggunaan serta modul latihan yang mudah difahami.

“Kejayaan ini bakal beri impak kepada bidang mekanikal di Politeknik Merlimau, selain membuktikan penuntut menguasai asas mengenai CNC. Langkah ini amat bertepatan dalam usaha melahirkan graduan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:13 AM