Pasukan HAZMAT membawa keluar sisa merkuri untuk dilupuskan ketika operasi pembersihan merkuri yang tumpah di Makmal Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Merlimau, Jasin. FOTO MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Pasukan HAZMAT membawa keluar sisa merkuri untuk dilupuskan ketika operasi pembersihan merkuri yang tumpah di Makmal Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Merlimau, Jasin. FOTO MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Hasbullah Azhar


Jasin: Sepasukan anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka mengambil masa sejam bagi membersihkan tumpahan merkuri dari termometer pecah di dalam makmal kejuruteraan mekanikal Politeknik Merlimau, Jasin, 4.30 petang tadi.

Penolong Ketua Jurutera Politeknik Merlimau Jamlus Abd Razak berkata, kejadian disedari pada 4.30 petang ketika seorang penyasarah melakukan pemeriksaan dalam makmal berkenaan.

"Pada mulanya pensyarah berkenaan memaklumkan ada peralatan yang pecah di dalam makmal terbabit dan saya kemudian melakukan pemeriksaan lanjut.

"Selepas diperhatikan ia adalah merkuri, saya terus minta bantuan pensyarah terbabit untuk hubungi bomba kerana risau penuntut akan terdedah kepada bahan berbahaya itu," katanya.

Sementara itu Penolong Penguasa Bomba (Komander Operasi Kanan) negeri Mohd Asyraf Mohd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.43 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal dilakukan anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) mengesan tumpahan merkuri dianggarkan sebanyak lima miligram pada lantai makmal terbabit.

"Kerja pembersihan dilakukan menggunakan serbuk sulfer dan cecair pencuci. Sisa tumpahan dibungkus rapi sebelum dilupuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:58 PM