AZRAFIZIE meraikan kegembiraan bersama ibu dan bapanya.
AZRAFIZIE meraikan kegembiraan bersama ibu dan bapanya.
Oleh Nur Ain Musdad

Jasin: Dilahirkan dalam keluarga miskin dan juga anak penoreh getah menjadikan Azrafizie Abu Aman, 26, lebih dahagakan kejayaan.

 Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik dan Kokurikulum Politeknik Malaysia Merlimau, di sini, itu, berkata, dia tetap mahu meneruskan cita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi biarpun terpaksa mengambil masa lama.

 Azrafizie yang juga anak bongsu daripada empat beradik berkata, kepayahan bapa, Abu Aman Koming, 61, dan ibu Habiyah Md Yusof, 58, membesarkan mereka adik-beradik membuatkan dia sentiasa menanam azam menjadi individu berjaya.

 “Sejak dulu, ayah bekerja sendiri dan ada kalanya menoreh getah bagi menyara kami sekeluarga memandangkan ibu hanyalah seorang suri rumah.

 “Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) namun terpaksa menolaknya kerana ingin memberi ruang kepada kakak yang ketika itu masih dalam pengajian peringkat ijazah di Universiti Utara Malaysia, sekali gus meringankan bebanan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Kali-15 Politeknik Merlimau, di sini, semalam.

 Istiadat itu disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Md Diah.

 Hadir sama, Pengarah Politeknik Merlimau (PMM) Zolkarnain Jobshi, Timbalan Pengarah Akademiknya Mohd As’ri Chik dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Abd Aziz Talib.

 Pada majlis itu, seramai 1,844 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pelancongan dan hospitaliti menerima sijil masing-masing.

 Asrafizie yang juga Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMM 2013 berkata, dia melepaskan peluang untuk menyambung pengajian di tingkatan enam kerana menerima tawaran kerja sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), demi menambah pendapatan keluarganya.

 Dia yang kini berkhidmat di Unit Integriti, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) sejak 18 Mei lalu berkata, dia sudah memohon menyambung pengajian ke universiti lain dalam jurusan perniagaan selepas menamatkan pengajian di PMM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:07 AM