Nor Azura Abdul Jalil


JURULATIH pasukan terjun kebangsaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang atlet penerjun wanita, September lalu.

Huang Qiang, 35, yang berasal dari China membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, dia yang mendapat taraf warga negara Malaysia didakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun satu bulan di dalam gim kering (dry gym), Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 5.30 petang, 26 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira tertuduh adalah jurulatih kepada mangsa.

" Dalam kes ini juga, membabitkan saksi lain yang turut dilatih oleh tertuduh. Selain itu, tertuduh masih mempunyai keluarga di China dan dikhuatiri akan meninggalkan negara ini," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi, dilarang berada di dalam lingkungan kawasan latihan Bukit Jalil, pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Peguam Mohd Hisham Md Nen yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai keluarga termasuk dua anak yang masih kecil.

Pada prosiding itu, peguam Cheow Wee yang hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menghubungi dan mendekati mangsa, serta pihak media tidak mendedahkan nama mangsa kerana mangsa sedang dilatih untuk Sukan Olimpik bersama pasukan elit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan, dilarang mengganggu, hubungi, ugut mangsa dan saksi lain dan mengarahkan pihak media supaya tidak mendedahkan nama mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 November ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, suspek ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) selepas satu laporan polis dibuat oleh ibu bapa atlet itu pada 29 September lalu.

Berita berkaitan:

Jurulatih renang direman 7 hari

Dirogol dua kali sejak 2106?

[UPDATE] Jurulatih renang ditahan

Atlet dakwa dirogol jurulatih

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 12:27 PM
Anggota polis membawa jurulatih warga China (kiri) yang dituduh merogol atlet penerjun wanita di Mahkamah Sesyen Jenayah. FOTO Mohd Yusni Ariffin