Antara laporan mengenai kes Huang sebelum ini.
Antara laporan mengenai kes Huang sebelum ini.
Nur Lela Zulkipli

BEKAS jurulatih pasukan terjun kebangsaan yang didakwa merogol atlet terjun wanita, dua tahun lalu, dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Noradura Hamzah membuat keputusan itu terhadap Huang Qiang, 37, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Dalam penghakimannya, Noradura berkata, fakta kes pembelaan semasa perbicaraan adalah konsisten dengan keterangan saksi pendakwaan.

Perbicaraan bermula Januari tahun lalu itu mengemukakan 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh yang dipanggil memberi keterangan.

Pada 11 Oktober 2017, Huang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita yang ketika itu berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Sukan Negara, Bukit Jalil, 26 September tahun sama.

Dia yang mendapat taraf warganegara Malaysia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 9 April 2018, mahkamah melepas dan membebaskan Huang selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes.

Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi dan Hakim Datuk Azman Abdullah selepas meneliti rayuan pihak pendakwaan, kemudian memerintahkan Huang membela diri dan membatalkan perintah lepas dan bebas.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Vasugi, manakala tertuduh diwakili peguam Hisham Md Nen.

Huang menjadi penolong kepada bekas ketua jurulatih, Yang Zhuliang pada 2007 dan pernah menghadiahkan pingat acara 3m papan anjal seirama pada Grand Prix Montreal 2012 serta gangsa di Piala Dunia London 2012 selepas mendapat kerakyatan pada tahun itu.

Berita berkaitan

Atlet dakwa dirogol jurulatih

Dituduh merogol atlet

Jurulatih terjun bebas tuduhan rogol [METROTV]

Jurulatih diarah bela diri tuduhan rogol atlet

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:58 PM