MUHMMAD (kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu bapa yang mewakili anak mereka. FOTO Ismail Muhamad
MUHMMAD (kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu bapa yang mewakili anak mereka. FOTO Ismail Muhamad
Ismail Muhamad


SEBANYAK RM192,600 disalurkan kepada 221 penuntut dari kawasan Parlimen Kubang Kerian yang akan mengikuti pengajian di peringkat universiti awam.

Sumbangan wang ehsan itu disalurkan oleh Kerajaan Pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan bagi membantu penuntut mengikuti pengajian peringkat Ijazah, Diploma, Matrikulasi dan Asasi.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata, daripada jumlah 221 penuntut itu, 112 orang akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah,Diploma ( 87 orang),Matrikulasi (16 orang) dan Asasi adalah enam orang.

Katanya, penuntut yang akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah menerima RM1,000, diploma (RM800) manakala RM500 masing-masing untuk matrikulasi dan asasi.

"Saya harap sumbangan wang ehsan ini dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa bagi keperluan awal untuk pengajian anak mereka yang berjaya diterima memasuki universiti awam," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di Kampung Pulau Hilir , Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Muhammad berkata, pelbagai bantuan disalurkan kerajaan kepada rakyat termasuk bantuan pendidikan untuk pelajar dari peringkat sekolah rendah, menengah sehingga ke universiti awam.

Katanya, tidak ada sebab bagi anak-anak tercicir daripada mendapat pendidikan awal hingga ke peringkat tertinggi kerana banyak peluang pendidikan disediakan kerajaan kepada mereka.

"Kita sebagai warganegara Malaysia amat bertuah kerana diperintah oleh kerajaan yang berkemampuan dalam membela nasib rakyat dan kejayaan membangunkan negara.

"Kecekapan pimpinan kerajaan dalam mengurus negara dengan baik dan cemerlang wajar dipertahankan oleh rakyat dengan memberi sokongan padu kepada usaha membangunkan negara ini menuju sebuah negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 1:03 PM