PELAJAR IPT perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.
PELAJAR IPT perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


AKTIVITI pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata, pengecualian hanya akan diberikan kepada lima kategori penuntut berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

"Penuntut pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diberikan kebenaran menyambung penyelidikan dengan kadar segera.

"Kelonggaran ini hanya dibenarkan kepada penuntut yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan," katanya.

Menurut kenyataan itu, turut diberi pengecualian ialah penuntut semester atau tahun akhir bagi pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang perlu melaksanakan kerja klinikal, latih amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau yang memerlukan peralatan khusus dibenarkan untuk melaksanakan PdP di kampus seawal 1 Julai ini.

"Selain itu penuntut berkeperluan khas yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti yang perlu mendapat bimbingan secara bersemuka bagi melaksanakan PdP kerana masalah pembelajaran, adalah dibenarkan seawal 1 Ogos 2020.

"Manakala, penuntut baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi kemasukan ke peringkat Sijil, Asasi dan Diploma untuk lepasan SPM serta kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi lepasan STPM/setaraf akan dijalankan secara berperingkat.

"Kemasukan penuntut Sijil dan Diploma Politeknik serta Kolej Komuniti dan penuntut Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTS seawal 1 Julai 2020," katanya.

Menurutnya, kemasukan penuntut Asasi dan Diploma di UA pula adalah seawal 1 Ogos 2020 dan kemasukan pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah mod penyelidikan di UA dan IPTS seawal 1 Oktober 2020.

"KPT mengarahkan pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta penjarakan sosial.

"Penetapan ini adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 9:43 PM