GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hassan Omar


SELEPAS dua bulan belajar secara dalam talian susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seramai 990 penuntut Semester I 2020/21 Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dibenarkan mendaftar masuk ke kolej tadi.

Pendaftaran dilaksanakan dalam situasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) susulan pandemik Covid-19.

Selain memakai pelitup muka, mereka menjaga jarak fizikal satu meter, menggunakan cecair sanitasi dan tidak berjabat tangan bagi memastikan keselamatan diri.

Pendaftaran itu bertujuan membolehkan penuntut terbabit ditempatkan di kolej baharu yang disiapkan beberapa bulan lalu, sekali gus memberikan penginapan lebih selesa.

Pada awal Jun lalu penuntut terbabit mendaftar secara dalam talian dan mereka serta ibu bapa tidak perlu hadir di kampus berikutan SOP berkenaan.

Salah seorang penuntut, Mohd Adam Iman Abdul Halim, 18, berkata, dia amat teruja untuk mengikuti pengajian di kampus selepas mengikuti kelas pengajian dalam talian sejak Jun lalu.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya mendaftar masuk ke kolej. Saya yakin mampu menimba ilmu dalam bidang Diploma Pengurusan Hospitaliti dengan baik di kampus ini.

"Saya teruja untuk menginap di kolej baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan terkini," katanya ketika ditemui di Rumah Siswa (RUMSIS) Muslim KUIM di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka tadi.

Ibunya, Suraya Dollah, 47, berkata, dia yakin KUIM mampu menyediakan pengajian dan penginapan serta diploma berkualiti tinggi yang mampu menyediakan ruang untuk Mohd Adam melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda kelak.

Muhammad Haiqal Hassan, 18, berkata, dia teruja untuk memulakan kuliah secara konvensional selepas dua bulan mengikuti kelas dalam talian.

"Saya puas hati dengan bilik kolej baru yang dilengkapi dengan katil, kipas, almari dan meja yang sesuai untuk penuntut seperti saya," katanya.

Seramai 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 layak melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2020/2021 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilaporkan berkata, tawaran kemasukan adalah ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Tawaran adalah bagi melanjutkan pengajian peringkat sijil, asasi, matrikulasi, diploma, Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi Akademik 2020/2021.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 3:04 PM