Hamizah Badiran


Serdang: Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 dan Festival Makanan Malaysia (MFF) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, yang menghimpunkan pelbagai program dalam bidang pertanian serta agromakanan menjadi tumpuan apabila diserbu orang ramai, semalam.

HPPNK 2017 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita berlangsung hingga Ahad ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat berguna.

Diadakan selama empat hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam, program yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menjadi landasan untuk menghargai dan meraikan mereka yang terbabit dalam penyediaan makanan.

Ia juga membabitkan semua peringkat daripada pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan kepada mereka yang memproses, memasak serta menghidangkan makanan.

Usahawan buah-buahan dari Temerloh, Pahang, Che Mazura Mohd, berkata usaha MOA dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu peladang, petani dan penternak amat dihargai.

“Perniagaan saya semakin maju dan berkembang dengan adanya bantuan geran daripada FAMA yang digunakan untuk membeli kelengkapan serta barangan berkebun.

“Mereka juga tidak putus-putus memberi tunjuk ajar melalui pelbagai kursus keusahawanan.

“Program seperti HPPNK ini juga adalah langkah terbaik MOA dalam menghimpunkan golongan petani, penternak, peladang, pengusaha makanan dan minuman agar produk kami lebih diketahui ramai,” katanya yang menjual belimbing madu, jambu lohan dan nanas MD2.

Penerima Anugerah Pasar Tani Jaya Peringkat Negeri Pahang sempena HPPNK 2017 itu berkata, berbekalkan modal RM700 untuk memulakan perniagaan tiga tahun lalu, dia kini mampu meraih pendapatan tahunan sebanyak RM380,000.

Muhammad Haizat Haikal Jasman, 19, dari Gemilang Agro Land Melaka pula menyifatkan penganjuran program itu membantu usahawan untuk mengetahui mengenai teknologi dan inovasi yang digunakan dalam industri manakala pengunjung boleh menerokai dunia makanan dari ladang hingga lautan ke meja hidangan pada masa sama.

Pada HPPNK 2017, Muhammad Haizat Haikal menjual lebih 20 spesies buah-buahan selain produk pertanian lain seperti baja dan tanah bagi melengkapkan usahanya dalam bidang pertanian.

Seorang ibu tunggal yang juga satu-satunya wanita di Kelantan mengusahakan perikanan laut dalam, Biby Aisya Assiah Kutty, 36, berkata: “Tidak mudah bagi saya untuk menjalankan aktiviti perikanan bot laut dalam, tetapi semua itu perlu ditempuhi untuk terus berjaya.

“Memulakan perniagaan ini pada 2005 bersama bekas suami, kami hanya mempunyai tujuh bot saja, tetapi kini sudah mencecah 18 bot laut dalam yang berpangkalan di Tok Bali.”

Aisya Assiah kini mampu memperoleh pendapatan melebihi RM2 juta setahun.

Pada masa sama, dia juga mula berjinak-jinak terbabit dalam industri hiliran rumpai laut dan produk kosmetik.

Sementara itu, MFF 2017 adalah antara festival makanan dan pertanian terbesar di Malaysia dengan 600 gerai disediakan di kawasan seluas 80,000 meter persegi.

Terdapat 401 jenis hidangan popular dari seluruh negara dihimpun dan dijual pada harga amat berpatutan jika pengunjung ke komponen Empayar Makanan.

Bagi komponen Livestock, ia menampilkan pameran haiwan hidup daripada pelbagai baka dan petting zoo sesuai untuk seisi keluarga.

Livestock Malaysia adalah satu komponen bersifat pameran antarabangsa, disertai oleh pengeluar livestock antarabangsa.

Terdapat juga pameran teknologi makanan, vaksin dan ubat-ubatan terkini melalui Livestock Malaysia, antaranya ternakan ayam dalam bangunan yang dapat diceburi oleh golongan muda.

Selain pameran makanan, HPPNK 2017 turut menganjurkan Karnival Kerjaya Agro Job Fair yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan buat belia dan graduan di negara ini.

Menerusi Malaysia Seafood & Fishery Product pula, ia menampilkan pameran serta jualan hasil laut, akuakultur, teknologi dan inovasi perikanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 6:45 AM