ORANG ramai hadir melawat tapak pameran HPPNK 2019.
ORANG ramai hadir melawat tapak pameran HPPNK 2019.
Izlaily Nurul Ain Hussein

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meneruskan objektif dasar agromakanan sedia ada dengan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi tempoh 2021 hingga 2030.

DAN 2.0 yang bakal dilancarkan pada 2021 itu adalah untuk menstruktur semula strategi melalui penilaian pencapaian sedia ada bagi mempercepatkan proses pemodenan selain mengurus permintaan dan penawaran bekalan makanan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha itu bagi memodenkan sektor agromakanan dan menjamin sekuriti makanan serta meningkatkan sumbangan kepada pendapatan golongan sasar dan ekonomi negara.

“Pendekatan baharu yang berteraskan teknologi moden dan pembangunan mampan selaras dengan Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) dan Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030) akan diperkenalkan untuk memodenkan sektor agromakanan supaya sektor ini kekal relevan dan menyokong aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Pembangunan sektor agromakanan pada masa hadapan perlu mengambil kira kemampanan sumber asli dan alam sekitar serta memastikan semua rakyat mendapat sumber makanan mencukupi, berkhasiat dan mampu dibeli, selaras dengan tema SDGs 2030 iaitu Leaving No One Behind.

“DAN 2.0 akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan hala tuju baharu dalam tempoh 10 tahun seperti membangunkan input pertanian dalam semua subsektor agromakanan, menjadikan negara sebagai pengeluar utama buah-buahan tropika di peringkat dunia dan memantapkan perkhidmatan pengembangan seiring perkembangan teknologi terkini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dr Wan Azizah berkata, DAN 2.0 juga akan menambah baik aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan kepelbagaian baharu yang tahan perubahan iklim dan mampu mengeluarkan hasil tinggi.

Menurutnya, selain memperkukuhkan sistem kawalan, pemantauan dan pengawasan (MCS) dalam subsektor perikanan, penekanan khusus turut diberikan dalam subsektor industri asas tani dan keusahawanan agro seperti agrokulinari dan agropelancongan.

HPPNK 2019 yang dianjurkan secara dwi-tahunan itu adalah usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam menyediakan platform kepada peladang, penternak dan nelayan mengetengahkan hasil pertanian dan teknologi terkini serta membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat dengan sektor pertanian.

Berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini, HPPNK 2019 menampilkan enam kluster aktiviti termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agroteknologi serta pembangunan modal insan.

Seramai 350 usahawan terbabit sepanjang ekspo berkenaan dengan antara 60 hingga 70 peratus pembabitan usahawan muda.

Antara yang terdapat pada HPPNK kali ini adalah 13 pavilion mewakili setiap negeri dengan keunikan masing-masing dan setiap pavilion menampilkan tarikan istimewa dari aspek makanan, kebudayaan dan produk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 6:10 AM