Izlaily Nurul Ain Hussein

KERAJAAN yakin dapat membangunkan beberapa lagi sektor dalam bidang berkaitan pertanian selepas melihat sambutan luar biasa masyarakat sepanjang empat hari penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Johor umpamanya boleh menawarkan beberapa pakej menarik seperti industri ruminan membabitkan ternakan.

"Saya yakin beberapa sektor dapat dibangunkan dengan lebih cemerlang pada masa akan datang. Johor masih ada tanah yang banyak untuk diberikan kepada kita dalam bentuk padang ragut untuk dijadikan ladang ternakan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup HPPNK di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, semalam.

SALAHUDDIN (tengah) bergambar bersama ketua jabatan Kementerian Pertanian memakai baju Maha 2020  pada Majlis Penutupan Sambutan  HPPNK 2019, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SALAHUDDIN (tengah) bergambar bersama ketua jabatan Kementerian Pertanian memakai baju Maha 2020 pada Majlis Penutupan Sambutan HPPNK 2019, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan hasil nilai jualan sebanyak RM30 juta pada HPPNK 2019 dan hampir mencapai matlamat apabila dapat mengumpul kira-kira RM26 juta setakat 10 pagi semalam.

Malah, jumlah pengunjung mencecah 430,000 sehingga 10 pagi dan diyakini dapat mencapai sasaran pengunjung 500,000 sehingga tamat HPPNK malam tadi.

SALAHUDDIN  memakai baju Maha 2020 sebagai gimik pelancaran pada majlis penutupan sambutan HPPNK 2019, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SALAHUDDIN memakai baju Maha 2020 sebagai gimik pelancaran pada majlis penutupan sambutan HPPNK 2019, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Pada masa sama, Salahuddin berkata, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia akan menjadi lebih proaktif memandangkan permintaan untuk mengeksport buah berkenaan sangat tinggi.

"Permintaan eksport sangat tinggi, jadi tidak cukup. Saya akan pastikan kita dapat menarik pelaburan baharu dan pemain baharu yang mahu ceburi bidang ini.

"Johor akan dibangunkan menjadi hab kerang- kerangan yang mana pantai dari Pontian ke Muar dilihat sesuai dari segi ekosistemnya untuk membangunkan industri terbabit.

"Saya melihat potensi ini akan dibangunkan dengan lebih tuntas pada masa akan datang," katanya.

SALAHUDDIN (tengah) melihat produk usahawan tempatan pada Majlis Penutupan Sambutan HPPNK 2019 di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SALAHUDDIN (tengah) melihat produk usahawan tempatan pada Majlis Penutupan Sambutan HPPNK 2019 di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Dalam mendepani kecanggihan Internet of Things (IoT), Salahuddin berkata, agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah bersedia dengan beberapa aplikasi baharu.

"Semua aplikasi ini akan dibekalkan kepada petani moden kita supaya mereka dipandu dan tidak ketinggalan dan dapat meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

ORANG ramai menyaksikan bahan pameran di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ORANG ramai menyaksikan bahan pameran di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Bank mini Agrobank pikat pengunjung

Konsep bank mini dibawakan Agrobank di ruang pamerannya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall, dari 28 November 2019 hingga semalam berjaya menarik minat agropreneur dan usahawan tani negara.

Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, biarpun berkonsep mini, urusan perbankan boleh dibuat di ruang pameran itu termasuk pembukaan akaun, pembayaran bil dan beberapa urusan perbankan lain.

"Pelbagai aktiviti disusun untuk pengunjung yang datang ke ruang pameran Agrobank, termasuk sesi penerangan dan khidmat nasihat mengenai produk dan peluang kerjaya bersama bank.

"Sebagai bank yang memberi fokus kepada pertanian, Agrobank menyediakan pelbagai pembiayaan bersesuaian untuk usahawan berskala kecil, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan juga syarikat korporat seperti pengusaha kilang selain dalam tujuan eksport," katanya.

PENGUNJUNG mendapatkan maklumat di kaunter Agrobank. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENGUNJUNG mendapatkan maklumat di kaunter Agrobank. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Menurut Khadijah, selama 50 tahun dalam sektor pertanian, Agrobank sentiasa berusaha menambah penyelesaian yang sesuai dan relevan untuk usahawan agro termasuk dalam penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

"Antara fokus Agrobank dalam pembiayaan bisnes pertanian adalah untuk menyediakan produk pembiayaan dengan kadar kompetitif merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian.

"Kita akan terus membantu agropreneur dalam membangunkan bisnes agro menerusi pelbagai program latihan. Kita turut menggalakkan lebih ramai usahawan orang kurang upaya (OKU) menceburi bidang pertanian.

"Di Agrobank, pelbagai inisiatif disediakan untuk menggalakkan usahawan tani muda menceburi bidang pertanian. Antaranya memberi pembiayaan daripada tanah pertanian, mesin, pemprosesan makanan, penternakan, perikanan, kedai runcit dan kafeteria," katanya.

PENGUNJUNG mengambil peluang bergambar bersama  'Gemuk' , lembu baka Charolais Timor berusia 2 tahun satu bulan yang menjadi Johan pertandingan King of Sado. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENGUNJUNG mengambil peluang bergambar bersama 'Gemuk' , lembu baka Charolais Timor berusia 2 tahun satu bulan yang menjadi Johan pertandingan King of Sado. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Ramai minat bertani

Empat hari penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall, menyaksikan industri pertanian semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

ORANG ramai menyaksikan bahan pameran di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ORANG ramai menyaksikan bahan pameran di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Tidak kira asal usul, latar belakang, usia dan bangsa, lebih 430,000 pengunjung hadir menyaksikan pameran dan jualan ditawarkan di 350 gerai pameran dan jualan dengan nilai jualan yang berjaya dikumpul sepanjang empat hari itu mencecah lebih RM26 juta.

Kali pertama dianjurkan di Johor, HPPNK 2019 turut menerima kunjungan masyarakat luar negeri ini dan sambutan seumpama itu diharap dapat diteruskan di seluruh negara.

KANAK-KANAK teruja memegang anak ayam yang dipamerkan di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019. FOTO Mohd Azren Jamaludin
KANAK-KANAK teruja memegang anak ayam yang dipamerkan di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:00 AM