BAS uzur berusia 31 tahun yang perlu diganti untuk kegunaan anak yatim. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
BAS uzur berusia 31 tahun yang perlu diganti untuk kegunaan anak yatim. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Kami perlu segera menggantikan bas sekolah lama yang menjadi pengangkutan utama 93 anak yatim di asrama ini kerana terlalu uzur serta boleh membahayakan nyawa," kata penyelia Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) daerah Besut, Ibrahim Muda.

Ibrahim berkata, disebabkan itu mereka mula mengumpul sumbangan dana bagi membeli bas sekolah baharu sejak 15 Oktober lalu.

Katanya, bas sedia ada sudah berusia 31 tahun dan tamat tempoh permit pada 14 Ogos 2021 lalu.

Menurutnya, permit juga tidak boleh disambung kerana bas sudah melebihi usia ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Jika diikutkan tempoh sebenar hanya 30 tahun saja tetapi disebabkan kekangan kewangan, kami membuat rayuan menyambung setahun lagi permit yang kini sudah berakhir pada Ogos lalu.

"Kami amat memerlukan sebuah bas untuk membawa anak yatim berulang-alik ke sekolah dan menghantar mereka pulang ke kampung apabila cuti persekolahan," katanya di Kampung Pondok Paku, Kerandang, Jabi, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, setakat ini kira-kira 93 anak yatim berumur sembilan hingga 17 tahun menetap di asrama berkenaan.

"Sebelum ini setiap pagi pengurusan asrama akan menghantar mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurong dengan bas.

"Namun buat masa sekarang ada 20 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di asrama berulang-alik ke sekolah menaiki van untuk sementara waktu kerana sekolah dibuka secara berperingkat.

"Semua pelajar juga akan kembali ke asrama awal bulan depan dan kami akan berdepan kesukaran untuk menghantar mereka serentak ke sekolah setiap pagi selain perlu mengutamakan keselamatan mereka," katanya.

Dia berkata, mereka menyasarkan kutipan sumbangan dana sebanyak RM100,000 untuk membeli bas sekolah terpakai yang masih boleh digunakan.

"Jika diikutkan mahu beli bas baharu namun harganya lebih tinggi berbanding bas terpakai," katanya.

Ibrahim berkata, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi talian 013-7415800.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:23 PM