NOOR Azman (kiri) melawat Ibrahim yang menghidap penyakit kulit kronik di Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, semalam. FOTO Safuri Kamarudin
NOOR Azman (kiri) melawat Ibrahim yang menghidap penyakit kulit kronik di Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, semalam. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


LELAKI warga emas Ibrahim Hassan, 64, yang menderita penyakit kulit kronik sejak tahun lalu merayu bantuan kewangan bagi meringankan beban ditanggung keluarganya.

Ibrahim dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling tidak mampu bekerja sejak Ramadan lalu berikutan kulit badannya mengelupas dan bersisik hingga rasa tidak selesa, malah terpaksa berkurung di dalam rumah.

Menurutnya, ketika mula diserang penyakit itu, dia mengalami rasa seram sejuk di seluruh badan dan kemudian kulitnya mulai bersisik sedikit demi sedikit.

Katanya, dia berusaha mengubati penyakit dialami dengan rawatan tradisional termasuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kulim, tetapi keadaan semakin teruk.

"Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Baling, saya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani kerana keadaan kesihatan semakin uzur.

“Rawatan di HSAH juga tidak menunjukkan sebarang kesan dan sehingga kini kulit badan semakin teruk dan mengeluarkan cecair seperti air bisa dan nanah serta bau kurang menyenangkan.

"Apabila cuaca sejuk, badan saya menjadi kebiruan dan sakit seluruh badan," katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling Noor Azman Ramli di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung harap kepada isterinya Rafeah Nayan, 63, yang mengambil-alih tanggungjawab mencari rezeki dengan menoreh getah.

Katanya, dengan pendapatan isteri tidak sampai RM300 sebulan, dia terpaksa berjimat dan mengikat perut, malah tidak mahu menyulitkan anak-anak kerana mereka juga hidup susah.

"Setahun saya terlantar dan tidak dapat bekerja kerana keseluruhan badan saya mengelupas dan bersisik. "Kulit di badan dan rambut juga semakin hari semakin luruh... rasa sakit dan pedih seperti disiat-siat," katanya.

Ibrahim berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu keluarganya untuk meneruskan kehidupan bersama isteri dan seorang cucu, Mohd Danial Haikal Yusri, 13.

Sementara itu, Pegawai JKM Baling Shamsul Izrin Isahak, berkata pihaknya akan melakukan siasatan dan akan menyalurkan bantuan jika pengadu layak bagi meringankan beban keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 11:00 AM