RESTORAN di Teluk Kumbar yang biasanya dipenuhi pelanggan bersarapan, kini lengang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
RESTORAN di Teluk Kumbar yang biasanya dipenuhi pelanggan bersarapan, kini lengang. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


SUASANA sibuk setiap hari di sekitar gerai penjaja di Taman Sahabat, Teluk Kumbar, bertukar lengang selepas arahan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipertingkatkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), semalam, susulan satu kes positif Covid-19 di daerah Barat Daya pada 14 Ogos lalu.

Tinjauan mendapati kawasan gerai penjaja di sekitar Taman Sahabat lengang berikutan peniaga serta pelanggan akur dengan arahan serta SOP ditetapkan.

Pelanggan, Norhisham Zainal, 43, berkata, biasanya kawasan gerai penjaja terbabit tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai yang membeli makanan.

"Mungkin amalan norma baharu sudah menjadi kebiasaan penduduk dan mereka akur dengan arahan serta hanya keluar rumah apabila perlu sahaja," kata pekerja swasta itu.

Di taman permainan berhampiran sudah dipasang tali halangan menandakan kawasan terbabit ditutup sementara bagi kegunaan orang awam.

Manakala pengurus restoran di Tingkat Teluk Kumbar 3, Ibrahim Mydin, 38, berkata suasana di premisnya agak lengang sejak semalam.

Katanya, premisnya beroperasi pada 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan biasanya, pada awal pagi setiap hujung minggu, premis terbabit dipenuhi pelanggan bersarapan.

"Kami sudah memperketatkan SOP dengan menyediakan hanya satu laluan masuk dan keluar di premis selain kaunter pendaftaran bagi merekod butiran pelanggan serta pengambilan suhu badan.

"Pada 8 malam tadi, tiada pelanggan memasuki premis ini berbanding sebelumnya, malah di jalan raya pun sudah tiada orang lalu-lalang.

"Kkeadaan menjadi sunyi kerana semua penduduk patuh pada arahan yang dikeluarkan pada 5 petang semalam," katanya.

Ibrahim berkata, seramai 11 pekerja di premis itu sedang menunggu giliran bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Semalam, dalam satu kenyataan dikeluarkan MBPP melaporkan aktiviti pasar malam di pekan Teluk Kumbar dan Sungai Batu tidak dibenarkan beroperasi buat sementara waktu, bagaimanapun aktiviti pasar pagi di sekitar Taman Sahabat dibenar beroperasi mengikut SOP ditetapkan.

Manakala taman permainan dan taman kejiranan pula diarahkan ditutup sementara.

Arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta membabitkan simpang jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Jalan Teluk Kumbar, Kampung Tengah dan sekitar Gertak Sanggul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 4:19 PM