MAHKAMAH tinggi, Shah Alam menolak rayuan seorang anggota polis, Mohd Faridzuddin Hamzah terhadap sabitan dan hukuman penjara empat tahun serta denda RM20,000 atas pertuduhan menerima suapan RM1,000 sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu kes dadah. FOTO Muhammad Sulaiman
MAHKAMAH tinggi, Shah Alam menolak rayuan seorang anggota polis, Mohd Faridzuddin Hamzah terhadap sabitan dan hukuman penjara empat tahun serta denda RM20,000 atas pertuduhan menerima suapan RM1,000 sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu kes dadah. FOTO Muhammad Sulaiman
Iskandar Shah Mohamed


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM20,000 ke atas seorang anggota polis yang didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah untuk menyelesaikan satu kes narkotik, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian selepas menolak rayuan tertuduh, Sarjan Mohd Faridzuddin Hamzah, 27, atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, Julai tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Mengikut dua pertuduhan, Faridzuddin yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang didakwa menerima rasuah RM1,000 di dua lokasi berasingan.

Perbuatan itu dilakukan di IPD berkenaan dan sebuah restoran di Sri Petaling, jam 8.15 malam, 5 Mac 2014 dan 9.20 malam, 1 April tahun sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Salim Bashir memohon penangguhan itu kerana mahu mengemukakan beberapa isu perundangan di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Laila Mohamed Nazil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 1:32 PM