Azahar ketika hadir di mahkamah. FOTO Bernama.
Azahar ketika hadir di mahkamah. FOTO Bernama.
Muhaamad Hafis Nawawi


MAHKAMAH Tinggi Alor Setar, hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang bekas sarjan polis yang didakwa menerima rasuah RM200, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas menolak rayuan tertuduh, Azahar Abdul Aziz, 55, terhadap sabitan dan hukuman dikenakan kepadanya oleh Mahkamah Sesyen, dua tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, mahkamah sudah meneliti rekod rayuan dan penghujahan bertulis yang difailkan dan berpendapat pendakwaan tidak boleh menerima bukti rakaman perbualan telefon kerana tiada izin pintasan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Katanya, bagaimanapun mahkamah masih bergantung kepada keterangan lisan semua saksi.

“Hakim Mahkamah Sesyen bertindak secara betul apabila memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Hakim Mahkamah Sesyen juga secara betul apabila di akhir kes memutuskan perayu gagal mematahkan anggapan undang-undang mengikut Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009,” katanya.

Mahkamah juga berpendapat hukuman yang dijatuhkan tidaklah berlebihan.

Mengikut pertuduhan, Azahar yang ketika itu bertugas di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim melalui panggilan telefon kepada Sulaiman Sahbudin, 30, secara rasuah bersetuju menerima suapan RM200.

Ketika panggilan dibuat pada 13 Januari 2015, kira-kira jam 5 petang, pengadu berada di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Kulim dan suapan itu sebagai upah kononnya tertuduh membantu mengurangkan hukuman ke atas Sulaiman iaitu hanya hukuman pengawasan AADK selama dua tahun.

Azahar didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM yang boleh dihukum mengikut Sekyen 24(1), akta sama.

Bagi tuduhan pindaan kedua, bapa kepada empat anak itu didakwa bersetuju menerima RM200 daripada pengadu bagi tujuan sama di Nasi Kandar Pelita, No 111-C Jalan Raya, Kulim, pada tarikh sama, jam 6.50 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar, manakala Azahar diwakili Datuk Naran Singh.

Mahkamah membenarkan permohonan perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga esok, bagi membolehkan rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 1:31 PM