Ezli Efifuddin Chik, 30, (kiri) dan Mohd Amzar Hashimi, 32, gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah RM3,000 di Langkawi, tiga tahun lalu. FOTO Shahrul Hafiz Zam.
Ezli Efifuddin Chik, 30, (kiri) dan Mohd Amzar Hashimi, 32, gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah RM3,000 di Langkawi, tiga tahun lalu. FOTO Shahrul Hafiz Zam.
Muhaamad Hafis Nawawui


MAHKAMAH Tinggi Alor Setar hari ini, menolak rayuan dua sahabat terhadap hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 yang dijatuhi terhadap mereka selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah RM3,000 di Langkawi, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar telah menimbang secara betul semasa di akhir kes pendakwaan dan pembelaan dan bersetuju perayu pertama, Ezli Efifuddin Chik, 32, dan perayu kedua, Mohd Amzar Hashimi, 32, gagal mematahkan anggapan undang-undang.

“Mahkamah ini berpendapat bagi pertuduhan ketiga, walaupun perayu kedua secara fizikalnya tidak hadir bersama perayu pertama namun Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya membuat penemuan betul berkaitan isu niat bersama.

“Mahkamah dengan ini menolak rayuan perayu pertama dan perayu kedua,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, kedua-duanya didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM3,000 daripada Mohammed Sharif Abdul Aziz Bhagad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Lazeez, Kompleks Kelana Mas, Kuah, Langkawi, 9 malam pada 23 Jun 2013.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada Syed Fakhraymoin Chisty sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif, 9.10 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, mereka didakwa menerima wang tunai RM1,800 daripada Mohammed Sharif di Lot 91, 92 dan 93, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Kuah, 2.40 petang pada 2 Julai 2013.

Bagi semua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiiz Abu Bakar manakala Ezli diwakili peguam Rasmadi Abdul Rashid.

Terdahulu, Rasmadi meminta mahkamah menangguh hukuman kerana anak guamnya ingin membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Mohd Amzar yang tidak diwakili peguam turut membuat rayuan menangguhkan hukuman untuk membuat rayuan.

Abu Bakar kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat kedua-dua tertuduh perlu memfailkan notis rayuan sehingga 10 pagi esok dan wang jaminan RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 2:57 PM