myMetro

Muar: Hanya kerana mahu mengelak membeli perisian tulen bernilai RM30,000, kegiatan dua syarikat masing-masing di Tangkak dan Muar, di sini, menggunakan perisian cetak rompak terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Muar Nor Azmi Lamisza berkata, serbuan berkenaan dilakukan pada Isnin dan Selasa lalu selepas pihaknya menerima aduan daripada Gabungan Perisian Komputer Perniagaan (BSA).

“Kedua-dua syarikat berkenaan dipercayai menggunakan perisian cetak rompak bagi mengelak membeli perisian tulen berjumlah RM30,000.

“Hasil serbuan, kami mendapati syarikat terbabit menggunakan perisian cetak rompak sejak sebulan lalu,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua syarikat berkenaan menggunakan sembilan perisian cetak rompak pada empat komputer bagi menyunting dan mereka bentuk produk masing-masing.

Katanya, antara perisian cetak rompak digunakan syarikat berkenaan termasuklah Microsoft, Auto Desk, Auto Cad dan Photoshop.

“Berikutan itu, kami merampas empat unit komputer dan beberapa peralatan dengan nilai rampasan berjumlah RM63,000. Pengurusan syarikat berkenaan akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang RM2,000 bagi setiap salinan atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:16 AM
NOR Azmi Lamisza (dua dari kiri) menunjukkan perisian komputer cetak rompak yang dirampas.
NOR Azmi Lamisza (dua dari kiri) menunjukkan perisian komputer cetak rompak yang dirampas.