Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas komputer dan pelbagai barangan serta salinan perisian cetak rompak bernilai RM16 juta sepanjang tahun lalu menerusi 73 serbuan di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, jumlah rampasan berkenaan merangkumi 254 komputer dan pelbagai barangan berkaitan bernilai RM762,000 serta 1,328 salinan perisian cetak rompak bernilai RM15.1 juta.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan itu adalah kerjasama antara Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK dengan Gabungan Perisian Perniagaan (BSA).

“Dua kes yang mencatatkan rampasan tertinggi adalah di Johor Bahru membabitkan rampasan perisian tidak sah di sebuah syarikat pembuat acuan plastik dengan nilai rampasan mencecah RM1.6 juta pada 30 September tahun lalu.

“Kes kedua di Bukit Mertajam, Pulau Pinang membabitkan syarikat pembuat suntikan plastik yang menggunakan perisian tidak sah dengan nilai rampasan mencecah RM1.2 juta pada 24 November tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kanan Program Pematuhan BSA Roland Chan.

Mohd Roslan berkata, daripada 73 serbuan yang dibuat, Selangor mencatatkan negeri tertinggi merangkumi 24 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM5.1 juta diikuti Pulau Pinang iaitu 14 serbuan dengan nilai rampasan RM3.5 juta.

“Sebanyak 11 serbuan dilakukan di Kuala Lumpur membabitkan nilai rampasan RM1.2 juta, Johor sembilan serbuan dengan nilai rampasan RM4.2 juta diikuti Kedah lima serbuan dengan nilai rampasan RM559,000.

“Sarawak pula dengan tiga serbuan dengan nilai rampasan RM862,600, Kelantan dua serbuan dengan nilai rampasan RM333,000 manakala, Perak dan Negeri Sembilan iaitu satu serbuan dan nilai rampasan masing-masing ialah RM97,000 dan RM44,000,” katanya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan itu adalah mengikut Akta Hak Cipta 1987 iaitu larangan menggunakan perisian cetak rompak dalam perniagaan.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan KPDNKK melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap perniagaan tertentu sahaja.

“Serbuan dilakukan tidak hanya tertumpu pada perniagaan tertentu atau khusus tetapi, ia dibuat secara menyeluruh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Roslan berkata, sebanyak 2.604 juta pemeriksaan dilakukan pihaknya membabitkan semua jenis penguatkuasaan di seluruh negara sepanjang tahun lalu berbanding 1.96 juta pemeriksaan dibuat pada tahun sebelumnya.

“Daripada pemeriksaan yang dilakukan ini menghasilkan sebanyak 10,742 kes dengan nilai rampasan RM147.153 juta.

“Bagi kes cetak rompak pula, sebanyak 170,363 pemeriksaan dibuat di seluruh negara dan 1,020 kes dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM6.38 juta sepanjang tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:21 AM