Farah Suhaidah Othman


POLIS menyiasat pegawai dan anggotanya yang menyebarkan gambar wajah mangsa pembunuhan hingga menjadi tular di laman sosial sejak 6 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata pihaknya giat mengesan individu yang menyebarkan gambar berkenaan termasuk pegawai dan anggota polis.

Katanya, gambar itu tidak sepatutnya tersebar berikutan keadaan mangsa ketika kejadian itu dalam keadaan mengerikan.

"Gambar mangsa dalam keadaan kepala hampir putus dan mengerikan tersebar di media sosial tidak sepatutnya berlaku.

"Susulan itu, kita akan siasat perkara itu dan akan dirujuk kepada pihak atasan (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) sebaik memperoleh keputusan," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Mess Pegawai Kanan Polis, di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Chang Keong, berkata pihaknya menahan lapan individu berusia antara 20 hingga 30-an berhubung kejadian itu.

"Kita anggap kes pembunuhan itu sudah selesai dengan tertangkapnya lapan suspek dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, 6 Jun lalu, mendiang S Ganasan, 30 ditemui mati dalam keadaan kepala hampir putus.

Mangsa dipercayai akibat ditetak selain kecederaan di beberapa bahagian badan di tepi jalan di Kilometer 6, Jalan Ipoh - Lumut.

Mangsa mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Berita berkaitan

Mayat ditemui dengan kesan tetakan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 11:49 AM