Sum (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Lans Koperal Muhammad Ghaddafi Zaher   pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Mess Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak,  di Ipoh.
Sum (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Lans Koperal Muhammad Ghaddafi Zaher pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Mess Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak, di Ipoh.
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Polis menyiasat pegawai dan anggotanya yang menyebarkan gambar wajah mangsa pembunuhan hingga menjadi tular di laman sosial, sejak 6 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya giat mengesan individu yang menyebarkan gambar berkenaan termasuk pegawai dan anggota polis.

Katanya, gambar berkenaan tidak sepatutnya tersebar berikutan keadaan mangsa ketika kejadian itu dalam keadaan mengerikan.

“Gambar mangsa dalam keadaan kepala hampir putus dan mengerikan tersebar di Facebook tidak sepatutnya berlaku.

“Susulan itu, kita akan siasat perkara itu (siasatan terhadap pegawai dan anggota) dan dirujuk kepada pihak atasan (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) sebaik memperoleh keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Mess Pegawai Kanan Polis, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Chang Keong berkata, pihaknya menahan lapan individu berusia antara 20-an hingga 30-an berhubung kejadian itu.

“Kita anggap kes pembunuhan itu selesai dengan tertangkapnya lapan suspek dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi 6 Jun lalu, mangsa, S Ganasan, 30 ditemui dalam keadaan kepala hampir putus dipercayai akibat ditetak selain kecederaan di beberapa bahagian badan di tepi jalan di Kilometer 6, Jalan Ipoh- Lumut, di sini.

Mangsa mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Sementara itu, Chang Keong berkata, 1,500 pegawai dan anggota IPD Ipoh bertugas pada sambutan Aidilfitri yang bakal disambut pada Ahad ini.

Katanya, hanya 10 peratus daripada 1,600 pegawai dan anggota diberikan cuti manakala selebihnya bertugas bagi memantau keselamatan rakyat di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 7:04 AM