IHSAN Bonba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bonba dan Penyelamat Malaysia
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Wanita maut dalam kemalangan dua kereta di Jalan Sultan Iskandar, di sini, awal pagi ini.

Khor Chow Yeen, 49, yang memandu Nissan Sunny maut di lokasi kejadian, pada 2.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata siasatan awal mendapati Honda Civic dipandu lelaki 28 tahun melalui jalan sehala di Jalan Sultan Iskandar Shah.

Menurutnya, Honda Civic itu hendak menghala ke Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki itu gagal dikawal dan merempuh kereta dipandu wanita itu yang keluar dari simpang kanan dari arah Jalan Bijih Timah.

Katanya, Nissan Sunny itu kemudiannya tiba-tiba masuk ke laluan Honda Civic itu.

"Berikutan perlanggaran itu, wanita itu tercampak keluar daripada keretanya dan jatuh di laluan Honda Civic itu.

"Pemandunya gagal mengelak sebelum menggilis mangsa dan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala pemandu Honda Civic tidak cedera.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 9:49 AM