Sebahagian 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi menerima bubur lambuk daripada guru mereka di pekarangan sekolah itu, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Sebahagian 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi menerima bubur lambuk daripada guru mereka di pekarangan sekolah itu, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


GURU Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Langkawi mempunyai cara tersendiri bagi membantu golongan memerlukan menerusi ‘Projek Cikgu’ yang kini terbukti mencapai sasarannya.

Menariknya, apa yang diusahakan turut membabitkan Facebook (FB) yang mana selain sumbangan orang ramai, rakan FB untuk projek berkenaan turut memberi sumbangan.

Pengetua SMK Mahsuri, Norini Wan Awang berkata, untuk tahun ini lebih RM42,000 dibelanjakan menerusi ‘Projek Cikgu’ bagi membantu ibu tunggal, asnaf, anak yatim dan golongan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, buat julung kali, pada tahun ini program sedekah bubur lambuk turut diadakan mengeratkan hubungan antara guru, pelajar dan waris.

"Sedekah bubur lambuk ini adalah program julung kali, bagaimanapun aktiviti sedekah barangan makanan kepada golongan memerlukan sudah dilakukan sejak 2014,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di pekarangan sekolah itu, hari ini.

Seramai 1,000 pelajar sesi petang dan waris mereka menerima bubur lambuk yang diberikan bersama-sama oleh guru mulai jam 5.30 petang di pintu pagar sekolah itu.

Sementara itu, Penyelaras ‘Projek Cikgu’, Sufina Halim berkata, projek yang bermula tiga tahun lalu itu mengumpul dana lebih RM20,000 setiap tahun daripada orang ramai dan rakan Facebooknya.

"Kami membelanjakan semua wang yang diamanahkan untuk membantu golongan amat memerlukan.

"Bantuan disalurkan ini bukan saja untuk sambutan Aidilfitri, bahkan termasuk sumbangan perabot dan barangan elektrik kepada keluarga penerima yang daif," katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan berkaitan program itu boleh diajukan menerusi mesej dalam laman Facebooknya, https://www.facebook.com/sufinahalim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 12:24 AM