Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lipis: Harian Metro dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjalin kerjasama menganjurkan majlis gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk sempena Ramadan.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) itu mengagihkan sebanyak 4,000 bekas bubur lambuk kepada penduduk, jemaah masjid dan surau, petugas barisan hadapan, pelajar tahfiz serta sekolah sekitar Kampung Tempoyang, di sini.

Penduduk kampung bergotong-royong memasak bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina Ali. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penduduk kampung bergotong-royong memasak bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina Ali. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Aktiviti dimulakan dengan memasak bubur lambuk secara bergotong-royong di Masjid Sayidina Ali Bin Abi Talib, Kampung Tempoyang sekali gus menjadi simbolik pelancaran program TKHM bersama KPLB.

Program diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri I KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan isterinya Datin Seri Nora Ibrahim.

Abdul Rahman berkata, tujuan utama program adalah untuk menyemarakkan amal kebaikan di bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat yang terkekang akibat pandemik Covid-19.

"Program yang diadakan kali pertama dengan kerjasama Harian Metro ini mendapat sambutan dan kerjasama amat erat bukan saja daripada penduduk setempat tetapi juga agensi keselamatan yang hadir di luar jangkaan.

"Ini mungkin disebabkan sudah hampir dua tahun kita tidak menjayakan program seperti ini dan sebaik kita berada di fasa peralihan ke endemik, maka semua rasa seronok dapat bekerjasama serta mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin sekian lama," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program TKHM bersama KPLB di Masjid Sayidina Ali Bin Abi Talib di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit, Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku Datuk Mustapa Long, Adun Cheka Lee Ah Wong, dan Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Acara gotong-royong penyediaan bubur lambuk resipi khas dari Kampung Baru, Kuala Lumpur dijalankan oleh ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan TKHM dan kakitangan KPLB seawal 7 pagi.

Edaran kemudian dilakukan kepada wakil kumpulan penerima dalam majlis perasmian ringkas berkenaan.

Sementara itu, Husain berkata, program ini antara usaha merapatkan hubungan Harian Metro dan komuniti setempat khususnya pembaca setia yang mencecah lebih 2.5 juta.

Abdul Rahman Mohamad berucap pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina Ali. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Abdul Rahman Mohamad berucap pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina Ali. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Menurutnya, TKHM yang memasuki tahun ke-16 mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan korporat dan agensi kerajaan dengan bantuan disalurkan kepada anak yatim, keluarga miskin, ibu tunggal, golongan asnaf, pusat tahfiz, rumah kebajikan dan mangsa bencana alam tanpa mengira bangsa serta agama.

"Pelbagai bentuk bantuan diberikan termasuklah kerja pembersihan, pengubahsuaian, sumbangan barangan keperluan asas, penyediaan kelengkapan harian, perayaan dan kewangan.

"Alhamdulillah, berkat kemurahan hati dan sokongan padu diberikan pelbagai pihak seperti KPLB, TKHM terus bertahan. Ramai golongan memerlukan mendapat manfaat daripada program ini di seluruh negara. Malah, kami pernah membuat program di kawasan bergolak di Selatan Thailand," katanya.

Beliau berharap kerjasama sedemikian akan berterusan pada masa mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 2:07 PM