SEORANG penagih dadah cuba melarikan diri dicekup.
SEORANG penagih dadah cuba melarikan diri dicekup.
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan dalam operasi AADK.
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan dalam operasi AADK.
Azma Razana Johari


Kepala Batas: Sekumpulan penagih menggunakan taktik mencuri ikan untuk membeli dadah di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di sini, terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seberang Perai Utara (SPU) menyerbu pasar itu, semalam.

Dalam serbuan jam 4 pagi hingga 3 petang semalam, beberapa penagih dadah tidak menyedari gerak-geri mereka diintip penguat kuasa sebelum dua daripada mereka ditahan.

Difahamkan, kumpulan penagih itu berkumpul sebelum mencari peluang mencuri ikan di sekitar pasar sebelum menjualnya di kawasan itu dengan harga yang murah bagi membeli dadah.

Sumber berkata, mereka akan mundar-mandir di situ bagi mencari pelanggan mereka sebelum menjualnya dengan harga lebih murah.

Katanya, selain dua lelaki berkenaan, 13 lagi penagih ditahan dalam operasi di sekitar kawasan Bakau Tua dan Kuala Muda.

Sementara itu, Pengarah AADK Pulau Pinang, Mohd Azlan Mohd Nor berkata, selain di Pasar Bisik Kuala Muda, pihaknya turut mengepung lokasi panas di Bakau Tua.

“Hasilnya, kami menahan 15 lelaki yang cuba memasuki ‘port’ mereka di kawasan itu. Ada antara mereka yang bertindak agresif dalam usaha melepaskan diri namun gagal berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, ujian air kencing mereka yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan serta buruh itu didapati positif morfin dan syabu.

“Semua lelaki berumur antara 19 hingga 51 tahun itu dibawa ke Pejabat AADK SPU untuk tindakan lanjut.

“Seramai 16 orang akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan seorang lagi mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 2:35 AM