Nur Izzati Mohamad


PENGURUSAN Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di Kepala Batas akan menggunakan sistem giliran dengan anggota jawatankuasa khas bertindak sebagai pemudah cara dalam melakukan tawaran harga antara pembeli, peraih dan nelayan

Ia adalah antara prosedur operasi standard (SOP) baharu akan digunakan apabila pasar itu dibuka kelak.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Muda, Yahya Mohamed Ismail, berkata pelbagai perbincangan dilakukan pihak pengurusan untuk memastikan SOP dapat dipatuhi.

"Selepas ini pasar bisik akan beroperasi dengan kawalan lebih ketat dan minta pengunjung khususnya peraih serta pembeli dapat memberi kerjasama kepada pihak pengurusan untuk memastikan kelangsungan kehidupan nelayan dapat diteruskan.

"Buat masa ini juga sistem bisik tidak digunakan sehingga tamat Covid-19 sebaliknya menggunakan sistem giliran di mana anggota jawatankuasa khas akan bertindak sebagai pemudah cara dalam melakukan tawaran harga di antara pembeli, peraih dan nelayan," katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan yang dilakukan mendapati pengurusan sedang membuat membuat persiapan dengan mematuhi sepenuhnya SOP sebelum premis itu diberi kebenaran sepenuhnya beroperasi seperti biasa.

Keadaan premis itu kini sudah berubah sepenuhnya apabila pihak pengurusan lebih berhati-hati dan menubuhkan pasukan jawatankuasa khas bagi memastikan arahan yang ditetapkan dapat dipatuhi.

Selain pemeriksaan suhu, penyediaan cecair pembasmi kuman dan merekod nama, pihak pengurusan turut memasang khemah yang menempatkan peraih dan pembeli untuk mengamalkan jarak sosial selain memberikan nombor giliran bagi memastikan tidak berlaku kesesakan.

Isnin lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengarahkan pasar bisik berkenaan ditutup selama tujuh hari kerana gagal mematuhi SOP semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, premis yang sepatutnya beroperasi hari ini masih dalam pemerhatian sebelum dibenarkan dibuka sepenuhnya seperti biasa.

Dalam pada itu, Yahya berkata, seramai 18 ahli jawatankuasa khas dilantik dalam membantu mengawal pasar supaya orang ramai patuh pada SOP yang ditetapkan.

"Sebanyak tiga unit nelayan yang terbabit dalam jawatankuasa ini iaitu Unit Nelayan Pasar Bisik Kuala Muda Penaga, Pulau Mertajam dan Bakau Tua selain pemantauan berterusan pihak berkuasa seperti polis dan JKNPP.

"Dengan pemantauan rapi dan pematuhan SOP yang ketat, kami berharap Pasar Bisik ini dapat kembali beroperasi seperti sedia kala kerana banyak nelayan yang terjejas akibat pandemik Covid-19," katanya.

Berita berkaitan

Pasar Bisik diarah tutup

Nelayan akur penutupan sementara Pasar Bisik

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 2:54 PM