Reezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) meninjau Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di Kepala Batas. FOTO DANIAL SAAD
Reezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) meninjau Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di Kepala Batas. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


KAEDAH berbisik diamalkan oleh nelayan, peraih dan pengunjung dalam aktiviti penjualan ikan serta hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di sini sejak bertahun-tahun lamanya perlu dihentikan buat sementara waktu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perkara itu perlu memandangkan masyarakat kini wajib menyesuaikan diri hidup dalam normal baharu sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penularan wabak Covid-19 memerlukan apa jua kebiasaan yang dilakukan memerlukan perubahan, mekanisma dan modus operandi seiring dengan keadaan semasa.

" Amalan bisik digunapakai sejak bertahun-tahun lamanya dan menjadi keunikan dalam urusan tawar menawar di sini tetapi dalam soal Covid-19 kita perlu ada perubahan, mekanisma dan modus operandi baharu.

"Oleh itu, dari segi amalan di pasar ini perlu ditukar dengan meletakkan harga supaya tidak berlaku proses bisik sekali gus mematuhi SOP seperti penjarakan sosial dan diikuti cara yang lebih sistematik," katanya selepas mengadakan lawatan ke pasar bisik berkenaan di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Reezal yang juga Menteri Belia dan Sukan turun untuk meneliti dan berbincang dengan pihak berkaitan berhubung SOP di pasar bisik itu selepas premis berkenaan diarah ditutup selama tujuh hari.

Reezal berkata, beliau memahami kehidupan nelayan yang mencabar dan bergantung pada pendapatan harian, namun SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi.

"Masjid pun kita tutup, Makkah pun tiada orang tawaf dan melawat makam Nabi, inikan pula pasar bisik. Soal jaga nyawa adalah tuntutan agama dan apa yang dilakukan kemestian dan wajib dipatuhi.

"Kita faham mengikut SOP juga satu cabaran bagi nelayab tetapi tetap perlu mematuhinya," katanya.

Jelasnya, sekiranya segala SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi dan KKM berpuas hati dengan pematuhan berkemungkinan pasar bisik itu dapat dibuka lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

Isnin lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengeluarkan notis penutupan pasar bisik itu kerana melanggar 100 peratus SOP yang digariskan.

Berikutan itu, ia menimbulkan ketidakpuasan nelayan dari Unit Kuala Muda, Bakau Tua dan Pulau Mertajam yang mendakwa periuk nasi mereka terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:26 PM