ANTARA 26 penagih dadah yang ditahan dalam operasi Ops Cegah. FOTO ihsan AADK
ANTARA 26 penagih dadah yang ditahan dalam operasi Ops Cegah. FOTO ihsan AADK
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang menahan 26 orang termasuk dua wanita dan remaja lelaki berusia 15 tahun dalam operasi Ops Cegah sekitar Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) semalam.

Operasi bermula dari 7 pagi hingga 3 pagi itu membabitkan 30 pegawai penguatkuasa AADK negeri yang diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasa dan Keselamatan AADK negeri, Ahmad Fadzil Alang.

Ahmad Fadzil berkata, operasi itu tertumpu di beberapa lokasi sekitar Kepala Batas, Bakau Tua, Penaga dan Kuala Muda yang dilaporkan menjadi 'port' utama penagih dadah dan hasil serbuan yang dilakukan seramai 24 lelaki dan dua wanita berusia antara 15 hingga 66 tahun ditahan.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu 21 orang daripada mereka yang ditahan itu positif dadah membabitkan 11 positif dadah jenis Morphin dan 10 positif syabu manakala lima lagi adalah negatif.

Kesemua mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU).

"Pemeriksaan lanjut dijalankan termasuk dokumentasi dan 11 kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan 10 kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 3:30 PM