MAKMAL komputer  lengkap antara kemudahan yang disediakan.
MAKMAL komputer lengkap antara kemudahan yang disediakan.
Oleh Hafizudin Mohd Safar


Arau: Buat julung kalinya, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Istiadat Konvokesyen kali ke-10 membabitkan seramai 2,075 graduan berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra, di sini, hari ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, semua graduan itu terdiri daripada mereka yang memperoleh doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan juga diploma.

Beliau berkata, turut diraikan, tiga penerima PhD dalam bidang ekonomi, kejuruteraan dan pengurusan selain menyaksikan majlis graduasi sulung kumpulan 26 pelajar perintis Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia Bioteknologi Industri juga akan menerima ijazah masing-masing.

“Semua graduan berkenaan terdiri daripada 37 penerima PhD, Ijazah Sarjana Sains (107), Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (35), ijazah sarjana muda (1,896) dan diploma (366).

“Istiadat konvokesyen kali ini akan diadakan dalam lima sidang bermula dari 19 hingga 21 September ini. UniMAP berbangga kerana dapat melangsungkan istiadat konvokesyen buat pertama kalinya di dalam kampus tetap di Pauh Putra selepas siapnya dewan utama.

“Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil iaitu ProCanselor UniMAP turut dijangka mencemar duli berangkat ke istiadat konvokesyen ini,” katanya pada sidang media, di sini, kelmarin.

Katanya, seramai tujuh graduan akan menerima anugerah tertinggi iaitu dua penerima Anugerah Pingat Emas Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor (2) dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (3) termasuk seorang graduan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:15 AM